.:: Sahabat_Maya ::.

Sunday, November 7, 2010

Riwayat Si Singa ALLAH

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

"MasyaALLAH, menitik airmata ana dengar lagu nie syeikh. Sayu lagunya, walaupun music arrangementnya agak rancak tapi mesej yang disampaikan sangat menikam kalbu. SubhanaALLAH, syukran tuan kongsi lagu nie dengan ana!"

Madah sahabatku, Tuan S,(bukan nama sebenar) selepas mendengar satu lagu yang ana kira memang menyayat hati, Lagu yang dimaksudkan adalah "Hamzah Asadullah" didendangkan oleh kumpulan Inteam. Tidak dapat dinafikan, tangisan penuh keharuan mengalir dari mata dan hati bagaikan tertusuk dengan keharuan yang melampau. Sangat mulia dirimu wahai Hamzah Asadullah. Pengorbananmu seakan membuatkan diriku sedar betapa mulianya pejuang-pejuang yang bertempur di medan peperangan demi untuk menegakkan kalimah "Lailahaillah Muhammadurrasullah" dan Islam yang dicintai.

Sekadar berkongsi dengan sahabat-sahabat, insyaALLAH, mari bersama kita susuri perjalanan sang Asadullah ini. Moga ada manfaat untuk semua.

Siapa Saidina Hamzah?
Nama sebenar bagi pejuang Allah yang berketurunan Bani Hasyim ini ialah Hamzah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdu Manaf. Bapa saudara kepada Rasulullah s.a.w dan lahir pada tahun 570 Masihi, tahun yang sama kelahiran Rasulullah. Pejuang Allah kelahiran Makkah al-Mukarramah ini memegang jawatan dalam ketenteraan sebagai panglima perang dan membawa panji-panji tentera Islam pada zaman Rasulullah s.a.w sesuai dengan hobinya yang suka memanah dan memburu. Peribadinya diselubungi oleh sifat-sifat mahmudah seperti berani, cekal hati. Beliau juga merupakan seorang pejuang yang sangat tangkas bertindak dan bijak mengatur strategi perang.

Syahadah Seorang Pejuang
Pada ketika itu, Abu Jahal menghina Rasulullah s.a.w secara keterlaluan. Ketika itu Hamzah sedang berburu di Bukit Safa dan dalam perjalanan pulang, Saidina Hamzah diberitahu oleh seorang wanita tentang penghinaan Abu Jahal terhadap anak saudaranya, Muhammad. Hamzah dalam keadaan yang marah, pergi mencari Abu Jahal yang pada ketika itu sedang duduk bersama-sama dengan pimpinan Quraisy. Berjumpa sahaja dengan Abu Jahal, Hamzah bertindak memukul Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga kepala Abu Jahal berdarah. Lalu Hamzah berkata,
"Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku, silakan! Sekarang aku mengaku bahawa Muhammad adalah Rasulullah s.a.w dan pembawa kebenaran. Demi Allah s.w.t, aku pengikut Muhammad s.a.w. Siapa berani, halanglah!
SubhanaALLLAH!!!PengIslaman Hamzah pada ketika itu adalah tidak tahan mendengar, melihat dan mengetahui cemuhan, maki hamun dan penghinaan masyarakat jahiliah terhadap anak saudaranya, Nabi Muhammad S.A.W.

Gugurnya Si Saiyidul Syuhada'
KETIKA peperangan begitu sengit di antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy, semangat tentera-tentera Muslimin semakin memuncak sehingga mereka terus menerkam ke arah tentera Quraisy bagaikan ombak melanda pantai sambil melaungkan amit, amit iaitu “matilah! Matilah!”
   Pada masa yang sama, kelihatan Hamzah bin Abdul Muttalib sedang melawan dan menerkam semua serangannya bagaikan seekor singa yang garang.
Beliau meluru ke tengah-tengah barisan tentera Quraisy dalam gerak kilat yang tiada bandingannya.
   Tentera-tentera Quraisy pula mengelak daripada libasan pedangnya umpama daun-daun kering yang dipukul oleh angin.
   Ketika Hamzah sedang bergelut dengan pihak musuh, tiba-tiba datang kepadanya Wahsyi bin Harb iaitu budak suruhan Jabir bin Mut’im secara sembunyi-sembunyi untuk membunuh beliau.
   Bapa saudara Jabir telah dibunuh dalam Perang Badar. Oleh yang demikian, Jabir mengupah Wahsyi dan dijanji akan dibebaskan sekiranya berjaya membunuh Hamzah kerana ingin menuntut bela ke atas kematian bapa saudaranya itu.
   Wahsyi menyertai perang itu dengan tekad untuk membunuh Sayidina Hamzah. Dia mengekori Hamzah dicelah-celah orang ramai. Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu.
   Ketika Sayidina Hamzah sibuk berlawan dengan tentera-tentera Quraisy, Wahsyi lalu mengambil kesempatan melontarkan lembingnya ke arah Sayidina Hamzah secara curi-curi.
   Lembing itu terkena dada Hamzah hingga menembusi badannya. Beliau cuba menerpa ke arah Wahsyi tetapi rebah tersungkur.
   Setelah Hamzah menemui ajalnya, datanglah Hindun binti Utbah iaitu isteri Abu Sufyan pemimpin tentera Quraisy lalu menoreh dada Hamzah untuk mengeluarkan hati dan jantungnya yang masih panas dan bergerak-gerak itu, Hindon cuba menggigit hati dan jantung Saidina Hamzah untuk melepaskan sakit hatinya.
    Setelah perang selesai dan kaum Quraisy telah kembali ke Mekah, Rasulullah menghadapi kemurungan dan kesedihan apabila melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Saidina Hamzah telah diberikan gelaran "Saiyidul Syuhada" yang bermaksud "Penghulu Sekalian Syahid".

Makam para syuhada di Uhud. Di sinilah jasad Hamzah bin Abdul Muttalib disemadikan

 Hamzah Asadullah - Inteam

Kesedihan para mukminin,
Masih terpancar di pedang musyirikin,
Sedang darah para syuhada',
Masih merah di lantai sirah.

Ketamakkan kepada harta,

Mungkin itu jadi puncanya,
Maka Allah menjadi murka,
Sehingga Nabi pun turut terluka,

Dalam ramai umat yang gugur,

Satu jasad tubuhnya hancur,
Kepiluan beratapan,
Menangisi satu kehilangan.

Dan setelah dikenal pasti,

Dia Hamzah perisai nabi,
Biar nyawa dikorbankan,
(jiwa raga dikorbankan)
Agar Islam tetap terselamat.

Di sebalik ketewasanmu,

Ada syurga sedang menunggu,
Tiap perintah mengandung hikmah,
Keingkaran kan mengundang padah.

Lailahaillallah,

huwa Saidina Hamzah Asadullah.

Dikaulah perisai Rasulullah,

Berjuang berkorban demi Allah.

Sudahkah puas hatimu Hindun,

Dapat melapah hati dan jantung,
Terbalaskah dendam kesumat,
Yang sekian lama telah tersemat. 
.:: Sayu berbaur terharu dengan perjuangan pejuang-pejuang terdahulu. Adakah diri ini berpeluang untuk menjadi salah seorang daripada mereka? Aku masih menghitung diri ::.

Wallahu'alam

No comments: